KEBAYA DAN ASAL-USULNYA

Copyright image. Owned by Izzkebaya.

Bagi memahami asal-usul kebaya Nyonya, perlu diselusuri susur galur dan meninjau zaman kegemilangan kerajaan Melayu Melaka.

Zaman itu juga merupakan zaman kegemilangan Peranakan Cina, sekumpulan kecil pedagang Cina yang menggabungkan pengaruh Cina dan Melayu ke dalam budaya dan gaya hidup mereka. Budaya inilah yang telah melahirkan kebaya.

Masyarakat Peranakan Cina yang bertapak di Negeri-Negeri Selat, iaitu Melaka, Pulau Pinang dan Singapura membina kehidupan di sekitar kawasan di mana Britain mendirikan penempatan perdagangan mereka.

Di sini, para pedagang Cina membina kediaman dan mengecap kemakmuran. Kaum lelaki masyarakat ini digelar Baba manakala kaum wanita dikenali sebagai Nyonya.

Ramai ahli sejarah percaya bahawa Baba telah mengahwini campuran wanita dari Semenanjung Tanah Melayu, Kepulauan Jawa, Sumatera, Burma dan Thailand dan menjadikan mereka Nyonya pertama. Anak gadis Nyonya ini kemudian dijodohkan dengan teruna Baba.

Kumpulan ini menjadikan minat terhadap nilai-nilai keanggunan dan kesenian dalam kehidupan sebagai satu budaya.

Ini dapat dilihat daripada perhiasan indah dalam rumah, barang-barang tembikar, perkakas

perak, barang kemas dan juga sulaman dan jahitan manik pada sarung bantal, hiasan dinding dan juga kebaya yang tampilkan.

Sejak kecil, Nyonya diasuh oleh golongan tua dalam keluarga menjadi isteri seorang Baba yang dihormati.

Paling penting, mereka mesti mempunyai penampilan yang baik, penampilan menarik dalam berpakaian terutama ditemukan dengan bakal suami atau mentua.

Selepas berkahwin, Nyonya menjadi suri rumah yang menetapkan peraturan, adat resam dan juga pantang larang sendiri. Tata tertib dan peraturan gaya hidup Nyonya dapat dilihat daripada keanggunan dan kehalusan sulaman kebaya yang dijahit oleh wanita yang mempesonakan ini.

Dengan cara ini, peranan kebaya Nyonya bukan sekadar menjadi pakaian yang cantik, tetapi juga mencerminkan budaya Baba dan Nyonya dan bukti kegemilangan zaman silam.

MENCIPTA KEBAYA

Fabrik yang biasa digunakan untuk membuat kebaya dinamakan kasa rubia. Kain tenunan kosong ini jarang, ringan dan diperbuat daripada benang pintal yang halus.

Benang yang digunakan untuk menjahit fabrik biasanya benang sulaman mesin daripada kapas, sutera atau polister.

Pada zaman dahulu, fabrik dan benang yang digunakan adalah daripada jenis yang bermutu paling tinggi dan diimport dari Eropah dan sesuai dengan status Nyonya.

Langkah pertama untuk membuat kebaya ialah mengambil ukuran badan si pemakai. Rajah berasaskan ukuran badan disurih pada fabrik dan lima bahagian penting dipotong, dua untuk lengan, dua untuk panel depan dan satu untuk panel belakang.

Dua potongan panel depan biasanya dipotong terus menjadi sua bahagian untuk memberi ruang di bahagian dada dan menyerlahkan potongan tirus kebaya. Baki kain yang agak lebar ditinggalkan pada bahagian-bahagian yang akan disulam.

Potongan kain disambung dengan jahitan yang dinamakan ketuk lubang. Jahitan unik menebuk kain pada jarak yang sama. Jahitan ketuk lubang yang paling bermutu tinggi dilakukan dengan begitu sempurna. Hanya pemeriksaan yang rapi akan memperlihatkan kehalusan lubang-lubang halusnya.

Sulaman pada kebaya biasanya menggabungkan corak bunga, lakaran atau geometri, menggunakan jahitan satin, jahitan zigzag, jahitan lubang butang dan jahitan tebuk lubang.

Sudah pasti teknik ini memerlukan tusukan jarum berulang kali pada kain kasa. Ada kalanya jahitan lurus biasa membingkai motif utama untuk menyerlahkan garis bentuk sulaman. Untuk memberikan ilusi realiti selanjutnya, benang sama warna dengan tahap kecerahan dan kegelapan yang berlainan digunakan.

Jahitan zigzag dan jahitan lubang butang digunakan untuk corak seperti sarang labah-labah pada kasa yang menyediakan rangka bagi corak kerawang yang rumit.

Fabrik di celah sulaman kerawang ini, juga dikenali sebagai sulaman richelieu, dipotong bagi mewujudkan lubang-lubang yang menambah sentuhan kecantikan dan keanggunan kebaya.

Sebagai peraturan, Nyonya memakai kebaya kosong dengan hanya sulaman biku di tepinya bila menguruskan kerja-kerja rumah, agar tidak mengotori kebaya yang lebih cantik dan menarik.

Kebaya basahan ini lazim diperbuat daripada kasa bercorak petak-petak, jalur atau bintik-bintik, yang selesa dan menarik dipakai dalam kehidupan sehari-hari. Barang kemas dan aksesori juga sekadarnya.

JENIS KEBAYA

*Kebaya berkabung – Kombinasi dwiwarna seperti semua hitam, putih, biru, hijau, biru dan putih serta hijau dan putih sebagai tanda menghormati kematian. Sulaman dan kerawang tidak terhad kerana pada zaman dahulu, istiadat pengkebumian dianggap majlis keramaian.

*Kebaya perayaan – hari jadi ke-60 tahun dianggap kejayaan besar dalam hidup dan Nyonya yang diraikan memakai baju panjang dengan batik sarung Lasong dilengkapi aksesori beradun manakala tetamu muda memakai kebaya warna terang dipadan barang kemas dan Nyonya lebih berumur memakain kebaya bernada lembut.

PELENGKAP KEBAYA

*Batik sarung – beraneka corak bergantung asal usulnya atau batik Pekalongan dengan motif dan corak dalam warna-warna terang dan garang.

*Kasut bersulam dan bermanik- teknik menyulam kasut dan menjahit manik diserahkan kepada perawan Nyonya sebagai persediaan perkahwinan. Kasut kodok atau tongkang yang membentuk kasut penari balet. Terkini fesyen kasut sliper bilik mandi dikenali sebagai kasut leret.

*Barang kemas peranakan- diperbuat daripada emas dan perak, bertatahkan intan berlian, jed dan mutiara yang menggabungkan pengaruh Cina, Melayu dan Indo Eropah merangkumi rantai leher, anting,-anting, rantai tangan, cincin dan rantai kaki.

Kerongsang- set tiga keping untuk mengancing bahagian hadapan kebaya panjang dikenali sebagai keronsang serong. Saiz lebih besar dan menonjol berbentuk hati dinamakan kerongsang ibu dan dua yang lebih kecil berbentuk bulat dikenali kerongsang anak.

*Tali pinggang perak- mengikat kain sarung di bawah baju kebaya dan salah satunya berbentuk sambungan panel perak bertebuk dan berukir. Kepala dinamakan pending perak berbentuk bujur dan disangkutkan pada kancing tali pinggang dengan cangkuk belakang. Nyonya memakai pending dihiasi corak ukiran awan timbul.

*Cucuk sanggul- Siput satu di atas kepada dengan pin rambut atau cucuk sanggul berbentuk pengorek telinga gergasi lazim diperbuat daripada emas menahan simpulan. Terdapat tiga hingga enam batang pin berbeza ukuran, ukiran halus dan bertatah intan manakala bertatah mutiara khas untuk upacara perkabungan.

(Petikan daripada buku bertajuk Nyonya Kebaya: A Living Art-sempena pameran di Galeri Petronas, KLCC, Februari 2005).

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0411&sec=Keluarga&pg=ke_02.htm#ixzz4ozG1LveL
© Utusan Melayu (M) Bhd

Top